21 Jun 2010

10 Wasiat kekal Beribadah Selepas Ramadhan



Kebiasaannya apabila berada dalam bulan Ramadhan kita merasakan
bersemangat untuk beribadah kepada Allah swt, lazat beribadah di
dalamnya lain dari bulan yang lain, kita banyak membuat amalan
sunat, membaca al-Quran, kita tidak meringan-ringankan solat dan
berjaya menahan diri dari melihat perkara-perkara yang diharamkan
oleh Allah swt. Sebaliknya apabila tamatnya Ramadhan, rasa lazat
beribadah yang kita perolehi hilang entah kemana, kita tidak lagi
bersemangat menunaikan amalan-amalan sunat, kemana perginya bacaaan
al-Quran kita, solat sunat, memelihara lidah dan lain-lain ?

Di bawah ini mari kita kongsi bersama 10 wasiat daripada al-Syeikh
Abdullah bin Abdul Rahman al-Jibrin, salah seorang ulama dari
Kerajaan Arab Saudi untuk terus kekal beribadah walau selepas
Ramadhan, saya olehkan semula dalam bahasa saya:

1. Yang terpenting ialah memohon pertolongan daripada Allah swt
menghidayahkan ketetapan/kekuatan dalam melakukan ketaatan
kepadanya. Allah swt memuji orang-orang yang mendalam ilmunya yang
berdoa dengan berkata:

Maksudnya : "Wahai tuhan kami, janganlah engkau pesongkan hati kami,
setelah engkau mengurniakan hidayah kepada kami, dan kurniakanlah
kepada kami rahmat dari sisi-MU, sesungguhnya engkaulah maha pemberi
(kurnia)." (ALi Imran : 8)

2. Banyakkan bersama orang-orang soleh dan berusaha menghadiri
majlis-majlis ilmu dan menziarahi orang-orang soleh

3. Berusaha mengetahui sirah orang-orang soleh dari pembacaan,
mendengar rakaman-rakaman kuliah terutamanya sirah para sahabat Nabi
saw.

4. Memperbanyakkan mendengar rakaman-rakaman islamiyah yang boleh
memberi kesan kepada diri seperti khutbah dan seumpamanya dari masa
ke semasa.

5. Bersungguh-sungguh menunaikan semua kefardhuan seperti solat 5
waktu, dan menunaikan puasa qadha jika ada, kerana dalam
melaksanakan kefardhuan ini adanya kelebihan yang besar.

6. Berusaha melakukan amalan sunat yang telah melekat di hati
walaupun sedikit, kerana amalan yang lebih disukai oleh ALlah ialah
amalan yang dilakukan secara berterusan walaupun sedikit seperti
yang dinyatakan di dalam hadith Nabi saw.

7. Berusaha menghafal ayat-ayat al-Quran dan berterusan membacanya.
Demikian juga berusaha membaca ayat-ayat yang dihafal itu di dalam
solat-solat fardhu dan sunat.

8. Membanyakkan berzikir kepada Allah swt dan beristighfar, kerana
sesungguhnya zikir dan istighfar ini adalah amalan kecil yang ada
manfaat yang besar yang dapat menambah keimanan dan menguatkan hati.

9. Menjauhi sedaya mungkin semua yang boleh merosakkan hati seperti
orang-orang jahat, rancangan-rancangan tv yang merosakkan, mendengar
lagu yang merosakkan, dan majalah-majalah lucah.

10. Akhirnya al-Syeikh Abdullah bin Abdul Rahman al-Jibrin berwasiat
untuk bersegera bertaubat dengan taubat yang bersungguh-sungguh,
kerana sesungguh Allah amat gembira dengan hambanya apabila mereka
bertaubat.

Janganlah anda semua jadi seperti kaum yang tidak mengenali Allah
melainkan dalam bulan Ramadhan, sesungguhnya al-Salaf al-Soleh
berkata tentang orang-orang yang hanya mengenali Allah di dalam
bulan Ramadhan: "Seburuk-buruk golongan ialah golongan yang tidak
mengenali Allah melainkan dalam bulan Ramadhan."

(sumber:islamonline .net)

Semoga Allah menjadikan kita termasuk dalam golongan orang yang
soleh di dalam Ramadhan dan soleh juga di luar Ramadhan.

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...