20 Jun 2010

Riak Membawa Kepada Sifat Fasik

Riak akan membawa kepada sifat fasik dan sifat fasik hanya ada dalam diri Si
Munafik.

Saudara semua,
Kalau nak tahu antara sifat riak yang terdapat dalam diri sesaorang yg
solat terutama nya bagi si Lelaki yang bersolat ialah apabila dia menjadi
Imam dan membaca Alfatihah dan surah2 AlQura'an secara "Jahr" ( kuat ) di
bacanya dgn tertib dan berlagu lagi tartil, tetapi apakala dibacanya surah
secara "sirr" perlahan seperti dalam rakaat ketiga dan keempat atau
keseluruhan solat2 dzohor dan Asar maka di bacanya secara laju bukan tertib
dan tartil lagi ....sebab org tak dengar kan, kadang lagi teruk bila
solat berseorangan atau manjadi imam dalam solat Dzohor dan Asar,
surah selepas fatihah dlm rakaat pertama dan kedua pun tak dibaca langsung.
Ya membaca surah adalah sunat...tapi arguementnya...cuba di buat jadi imam
solat maghrib dan Isya dan tak baca surah selepas Fatihah dalam raokaat
pertama dan kedua...apa jadi?

Ini dapat dikesan bila bersolat dibelakang imam dalam solat dzohor
& Asar...cepat sekali imam berubah kedudukan dari berdiri ke rukuk dan dari
rukuk ke i'tidal dan kemudian kesujud serta seterusnya...tetapi bila baca
"Sami'alllahu liman hamidan...serta bila memberi salam...bukan main mendayu
dayu beserta kenampakkan tertib beserta makhraj bacaan....sebab
apa....kerana bacaan itu di dengar oleh makmum,,,maka kena sebut lah betul2
ye tak?????



Firman Allah dalam surah al-Mabun ayat 4-6 yang bermaksud:

"Maka celakalah bagi orang yang solat. (Iaitu) orang yang lalai solatnya dan
orang-orang yang riak."



Pengertian riak

Riak itu ialah melakukan kebaikan dan amal ibadat semata-mata untuk mencari
tempat di dalam hati manusia.


Perkara yang diriakkan oleh manusia;

1. Riak dari segi badan

Riak jenis ini menunjukkan seseorang itu menampakkan keletihannya kerana
berpuasa dan banyak berjaga malam untuk beribadat.


2. Riak pada pakaian

Seseorang itu memakai pakaian yang menunjukkan kewarakan dirinya sedangkan
hakikatnya tidak. Memakai pakaian sebegini di hadapan golongan tertentu
kerana kepentingan diri sedangkan di waktu lain dia bukanlah sebegitu malah
hatinya juga bukanlah berniat untuk mendapat keredhaan Allah tetapi
mengharap penghormatan daripada orang lain.


3. Riak dengan perkataan

Riak ini adalah seseorang itu menunjukkan dirinya seorang yang benar dan
ikhlas melalui perkataan yang keluar dari bibirnya. Tuturnya seperti seorang
penasihat dan pensyarah. Dia memilih lafaz-lafaz yang halus dan dalam
maknanya juga kata-kata hikmat beserta hadith. Dia juga berkata seperti kata
para Nabi dan aulia sedangkan pada hakikatnya dia sebenarnya sunyi dan
kosong.


4. Riak pada amalan

Orang sebegini adalah sering menzahirkan khusyuk dalam solat dan sengaja
memanjang-manjangkan rukuk dan sujud apabila ada orang melihatnya. Orang
seperti ini sering bersedekah secara terang-terangan, pergi menunaikan
fardhu haji, berjalan menundukkan kepala dan kurang berpaling ke kanan dan
ke kiri padahal Allah mengetahui batinnya. Sedangkan jika dia bersendirian
amalannya bukan sempurna sebegitu, seperti solat dengan cepat, berjalan laju
dengan matanya sering meliar ke sana ke mari dan sebagainya.


5. Riak dengan ramainya murid dan pengikut

Seseorang itu berasa bangga dengan murid dan pengikut yang ramai. Demikian
juga seperti seseorang yang sering menyebut nama ulama itu dan ulama ini
bagi menunjukkan dirinya seorang yang banyak bertemu dengan syeikh dan
ulama.



Peringkat Riak


1. Riak Akbar

Riak akbar ialah seseorang itu taat melakukan ibadat tetapi untuk
mendapatkan sesuatu daripada manusia dan bukanlah untuk beroleh keredhaan
Allah SWT. Riak ini adalah berpaling terus daripada Allah pada
keseluruhannya kerana hanya berkiblatkan manusia.


2. Riak Asghar

Riak asghar ini pula ialah melakukan sesuatu untuk mendapatkan apa yang ada
pada manusia dan apa yang pada Tuhan iaitu melakukan amal kerana Allah dan
kerana yang lain daripada-Nya. Riak ini adalah lebih ringan daripada riak
akbar kerana orang itu menghadap Allah pada satu segi dan kepada manusia
pada satu segi yang lain.


3. Riak Jali (yang terang)

Riak ini ialah mendorong seseorang itu untuk melakukan amal ibadat.
Sehinggakan jika tanpa riak ini dia tidak berminat untuk melakukan amal.


4. Riak Khafi (yang tersembunyi)

Riak ini pula tersembunyi di dalam hati di mana ianya mendorong seseorang
itu untuk lebih rajin beribadat.



Punca Riak

Sebab-sebab yang boleh membawa kepada penyakit riak ini antaranya ialah;


1. Sifat suka dipuji oleh orang lain.

Sifat ini akan membawa kepada bangga diri dan suka menunjuk-nunjuk kelebihan
kepada orang lain.


2. Takut dikritik atau dicerca oleh orang lain.

Ketakutan ini boleh membawa kepada penampilan yang kurang jujur dan suka
berpura-pura.


3. Cintakan kehidupan dan kemewahan dunia dan lupa pada kematian.

Seseorang itu melakukan segala pekerjaan adalah semata-mata kerana untuk
menarik perhatian orang lain, dan menganggap dirinya hebat. Manusia sebegini
mengharapkan ganjaran atas segala pekerjaan yang dilakukan.



Bagaimana mengelakkan sifat riak?

Rawatan terbaik bagi segala penyakit di muka bumi ini adalah dengan menjauhi
sebab-sebab dan punca terjadinya penyakit.


Terdapat beberapa cara untuk menghindari sifat riak daripada menguasai hati;

1. Sentiasa mengingatkan diri sendiri tentang perkara yang diperintahkan
Allah dan juga sering menyucikan hati dengan melakukan ibadat-ibadat khusus
seperti zikir dan membesarkan kekuasaan Allah.



2. Mengawasi diri agar sentiasa takut akan kemurkaan Allah. Dengan ini akan
membawa diri agar sentiasa berwaspada dalam melakukan perkara yang boleh
mengheret kepada dosa dan seksaan Allah pada hari akhirat kelak.



3. Berwaspada terhadap perkara-perkara yang boleh menghapuskan pahala amalan
yang dilakukan akibat riak.



4. Menanamkan di dalam diri bahawa melakukan sesuatu perkara kerana manusia
sehingga membawa kemurkaan Allah itu patut dijauhkan.



5. Sentiasa mengawasi diri daripada lalai terhadap ujian dan nikmat yang
dikurniakan Allah untuk menghampirkan diri kepada Allah.



6. Ikhlaskan diri dalam setiap amalan yang dilakukan. Apabila berasa suka
dipuji dan diberi penghargaan setiap kali membuat sesuatu perkara yang baik
dan berasa terhina apabila ditegur, maka inilah tanda wujudnya sifat riak.



Adakalanya terdapat juga orang yang melakukan amal kebajikan dengan niat
ikhlas kerana Allah, namun dia mendapat mendapat perhatian daripada orang
lain atas amalannya. Keadaan ini tidak diambil kira sebagai riak kerana dia
sememangnya niat dengan ikhlas pada awalnya. Namun, untuk melakukan
satu-satu ibadat pada permulaannya akan menyebabkan timbulnyaperasaan riak
dan rasa bangga diri, namun apabila amal itu sering dilakukan dan berterusan
dengan niat ikhlas pastinya perasaan riak itu akan terhapus sedikit demi
sedikit.



Janganlah takut untuk pergi ke masjid, mendengar tazkirah, menunaikan solat
jemaah dan sebagainya kerana takut akan dikatakan riak sedangkan dengan riak
itulah akan mendorong dan menggalakkan kita untuk beramal dan meningkatkan
ibadat. Tetapi, jangan biarkan perasaan riak itu terus menerus menguasai
diri kerana apabila ada riak dalam setiap amalan maka amalan yang dilakukan
adalah sia-sia belaka.


Wallahua'lam.

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...