24 Jun 2010

Tokoh Pejuang Agama - Sheikh Ahmad Yassin

Sheikh Ahmad Yassin atau nama sebenar beliau Ahmad Ismail Yassin dilahirkan pada tahun 1937 di perkampungan Al-Jura, Majdal, Palestin. Keluarga beliau berpindah ke Semenanjung Gaza selepas kampungnya musnah dalam peperangan Arab-Israel pada tahun 1948.

Semasa berumur 12 tahun, beliau terlibat dengan kemalangan sukan. Tangan dan kakinya lumpuh akibat kemalangan itu dan semenjak itu beliau terpaksa menggunakan kerusi roda sepanjang hayatnya.

* Pendidikan

Walaupun lumpuh, beliau berupaya menyambung belajar ke universiti di Mesir pada tahun 1959. Namun, akibat kekurangan wang, beliau tidak menghabiskan pelajaran beliau dan kembali ke Gaza. Semasa di Mesir, beliau menyertai gerakan Ikhwanul Muslimin.

Beliau menjadi guru pendidikan Islam dan bahasa Arab. Beliau menjadi khatib di Masjid Gaza dan sering menaikkan semangat penduduk Palestin dalam khutbah-khutbah beliau.

* Dipenjara kerana Berjuang

Pada tahun 1983, beliau ditangkap dan dipenjarakan atas tuduhan terlibat dengan operasi bawah tanah menentang penjajah Israel. Mahkamah tentera Israel menjatuhkan hukuman 13 tahun penjara ke atasnya. Selepas 11 bulan dipenjara, beliau dibebaskan dalam satu perjanjian pertukaran tawanan.

Semasa kebangkitan intifadah pertama pada tahun 1987, Yassin menubuhkan Pergerakan Kebangkitan Islam atau ’Hamas’ bersama rakannya, Abdul Aziz Al-Rantissi. Beliau menjadi pemimpin spiritual Hamas sejak penubuhannya. Pada bulan Mei 1989, beliau ditangkap bersama ratusan pendokong Hamas sebagai usaha mengekang kebangkitan bersenjata dalam kalangan rakyat Palestin.

Pada Oktober 1991, beliau dijatuhkan hukuman penjara selama 40 tahun oleh mahkamah tentera Israel atas tuduhan menubuhkan pasukan bersenjata menentang Israel dan menggalakkan keganasan. Semasa dalam tahanan, beliau dipukul yang menyebabkan kedua-dua mata dan telinganya hampir hilang fungsi. Pada tahun 1997, beliau dibebaskan dari penjara Israel sebagai timbal balik ke atas pembebasan ejen Mossad Israel yang ditawan oleh kerajaan Jordan.

Semasa kebangkitan intifadah kedua pada tahun 2000, Yassin berkeras supaya rakyat Palestin berhak menentang penjajahan ke atas Palestin. Ini menyebabkan beliau menjadi sasaran pembunuhan oleh Perdana Menteri Israel, Ariel Sharon.

* Syahidnya Seorang Pejuang

Pada September 2003, kapal terbang pejuang udara Israel melepaskan tembakan peluru berpandu ke arah sebuah bangunan di Bandar Gaza dalam cubaan membunuh Yassin, namun, beliau terselamat. Walaupun beliau menjadi sasaran pembunuhan, beliau tidak pernah mengambil langkah menghadapi kemungkinan diserang lagi. Ini sesuai dengan pendiriannya yang tidak takut mati dalam perjuangan sebagai syahid. Kata beliau, ”Sekiranya saya mati, akan bangkit 1000 lagi orang seperti saya.“

Pada 22 Mac 2004, Yassin disorong dengan kerusi roda bagi menunaikan solat Subuh seperti biasa. Pagi itu tidak sama seperti hari-hari sebelumnya kerana beberapa peluru Hellfire dilepaskan oleh helikopter tempur milik Israel lalu membunuh beliau. Seluruh dunia mengutuk serangan itu. Kira-kira 200,000 rakyat Palestin berarak pada hari pengkebumian beliau.


”Subhanallah...begitu semangat juangnya yang tidak gentar akan mati...tidak gentar pada musuh demi Islam...kekurangan yang ada tidak melunturkan semangat juangnya demi Islam...Ya Allah...Kau tiupkanlah sedikit dari semangat juangnya ke dalam diri kami semua..Amiin...“

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...