24 Jun 2010

Tokoh Pejuang Agama - Izzuddin Al Qassam

Izzudin al-Qassam dilahirkan di Syria pada tahun 1882 di Jabalah, Utara Syria dalam keluarga sufi. Nama sebenar beliau adalah Muhammad Izzuddin bin Abdul al-Qadir bin Mustapha bin Yusuf bin Muhammad al-Qassam. Bapa beliau seorang guru Quran di kampung.

* Anak Didik Sheikh Muhammad Abduh

Beliau mendapat ijazah pertama di Universiti al-Azhar pada tahun 1906. Di al-Azhar, beliau sempat menuntut dari seorang tokoh reformis, Sheikh Muhammad Abduh. Semasa menuntut di sana, beliau menunjukkan kecenderungan berdakwah. Selepas menamatkan pengajian, beliau menjadi guru dan imam. Sebagai pendidik dan pendakwah, beliau sering memberi penerangan kepada masyarakat mengenai isu-isu semasa daripada sudut pandangan Islam. Usaha dakwah beliau ini bejaya mengubah pemikiran supaya cenderung kepada kebangkitan Islam.

Selepas Itali menceroboh Libya pada tahun 1911, beliau mengisytiharkan jihad pada Itali. Beliau bertindak mengumpulkan sukarelawan untuk berangkat ke Libya bagi berjihad. Semasa Perang Dunia Pertama, beliau menyertai pasukan tentera Empayar Uthmaniyah dan ditempatkan di Demascus.

Pada tahun 1920, berlaku Revolusi Syria yang mencetuskan perang Melson. Izzuddin mengumpulkan sepasukan sukarelawan bagi berperang dengan pihak Perancis. Pada tahun 1921, beliau adalah individu penting dalam penentangan terhadap Perancis di Syria. Namun, serangan demi serangan tentera Perancis memaksa beliau dan pengikutnya berundur ke Haifa, Palestin. Di sini, beliau membuka sebuah sekolah bagi mengajar golongan bawahan.

* Tokoh Gerakan ‘Black Hand’

Izzuddin dianggap sebagai mujahid kerana dia memahami perancangan Zionis yang mahu mendirikan sebuah negara Yahudi di Palestin. Beliau juga tahu terdapat pakatan sulit antara Zionis dan Amerika Syarikat serta British khususnya. Beliau sering memberi ucapan-ucapan di Masjid An-Nasr dan Masjid Istiqlal bagi memberi kesedaran dan membangkitkan semangat para pengikutnya.

Pada tahun 1927, beliau memimpin Jam’iyah Asy-Syubban A-Muslimin (Persatuan Pemuda Muslim) yang beribu pejabat di Kota Haifa. Selama bertahun-tahun, beliau berusaha memberi kesedaran kepada masyarakat Arab Palestin mengenai rancangan jahat Zionis dan mempersiapkan mereka bagi menghadapi jihad dengan rejim Zionis. Usaha beliau juga banyak tertumpu kepada menyatukan penduduk Palestin.

Pada tahun 1929, beliau dilantik menjadi Kadi Nikah di Mahkamah Syariah di Haifa. Melalui jawatan ini, beliau sering turun ke utara Haifa di mana pelarian Palestin yang hidup serta daif berkampung. Di sana, beliau mengumpulkan pasukan-pasukan gerila bagi bertempur dengan pihak British dan Yahudi.

Lambat laun, beliau menjadi terkenal dalam kalangan golongan bawahan. Selepas pembunuhan beramai-ramai di Hebron pada tahun 1929, beliau menubuhkan kumpulan “Black Hand”, sebuah gerakan bersenjata anti-British yang berjaya merekrut hingga 800 ahli.

* Syahid di Jalan Allah

Pada tahun 1930-an, usaha beliau mendapat sokongan daripada Parti Istiqlal. Pada tahun 1931, pasukan bersenjata yang dibentuk beliau menyerang sebuah perkampungan Yahudi di Yagur. Bertitik dari Yagur, pasukan Izzuddin meneruskan serangan hingga tersebar ke seluruh wilayah pergunungan pada tahun 1935.

Pada 20 November 1935, unit beliau seramai enam orang bertempur dengan tentera British berhampiran Ya’bad. Pihak British turut dibantu oleh pesawat tempur. Dalam pertempuran berani mati, beliau dan dua orang pengikutnya terkorban. Pemergian Izzuddin membangkitkan penentangan yang lebih hebat pada penjajah Zionis.

Hari ini nama beliau sinonim dengan pasukan berani mati, Briged Izzuddin al-Qassam, sebuah sayap bersenjata Hamas sebagai tanda mengingati perjuangan Izzuddin memperjuangkan kemerdekaan Palestin.

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...