20 Jun 2010

Amal Soleh Selamatkan 3 Lelaki

Diriwayatkan oleh Abdullah bin Umar bahawa dia mendengar Rasulullah
bersabda ketika menceritakan sebuah kisah sebagai teladan, cerita baginda:

"Telah keluar tiga orang lelaki pergi mengembara, tiba disebuah gua
mereka masuk untuk tujuan bermalam. Sebaik sahaja masuk tiba-tiba sebuah batu
besar jatuh dari atas gunung dan menutup pintu gua. Lalu mereka berkata sesama
sendiri kerana tidak dapat keluar dari gua, sambil berdoa kepada Allah
dengan mengemukakan amal soleh yang telah mereka lakukan.

Salah seorang dari mereka lalu berdoa; "Ya Allah, ya Tuhanku.
Sesungguhnya Engkau mengetahui bahawa aku mempunyai ibu bapa yang tua dan
aku tidak pernah minum susu sebelum memerahkan susu kambing dan kedua mereka
meminumnya.

Tetapi pada suatu hari kambing itu telah keluar jauh mencari makan dan
aku tidak menunaikan kewajipanku kepada orang tuaku seperti biasa sehingga
mereka tertidur.

Setelah aku memerah susu, ibu bapaku masih tidur dan aku teringin minum
susu itu. Namun aku terus menunggu mereka bangun dari tidur sehingga terbit
fajar. Anak-anak ku menjrit-jerit lapar di kakiku menyebabkan ibu bapaku
terjaga dan minum susu yang aku perah itu.

Ya Tuhanku, jika apa yang telah aku lakukan itu mendapat keredhaan Mu
maka lepaskan kami dari bencana yang sedang kami hadapi."

Tiba-tiba batu besar yang menutupi pintu gua itupun terbuka sedikit,
tetapi mereka masih tidak dapat keluar.

Maka lelaki yang kedua pula berdoa; "Ya Allah, ya Tuhanku. Sesungguhnya
Engkau mengetahui aku ini mempunyai seorang sepupu perempuan yang amat
aku cintai dan aku sering merayunya untuk berdua-duaan, tetapi dia sentiasa
menolak.

Pada suatu hari dia menemui ku dan aku memberinya 120 dinar dengan
harapan dia mahu berdua-duaan bersama ku. Ia menerima permintaan ku itu. Ketika
aku menghampirinya tiba-tiba dia berkata: "Takutlah kepada Allah. Janganlah
melakukan sesuatu yang dimurkai Allah."

Aku merasa serba salah dan berhenti dari percubaan ku untuk
memperdayakannya serta meninggalkanya pergi sendiri, sedangkan dia
gadis yang amat aku cintai dan aku juga meninggalkan wang emas yang
telah aku berikan kepadanya itu.

Wahai Tuhan ku, seandainya apa yang telah aku buat itu mendapat
keredhaan Mu maka lepaskan kami dari bencana yang sedang kami hadapi ini."

Tiba-tiba batu besar itu bergerak sedikit lagi. Namun ketiga-tiga lelaki
itu masih gagal melepaskan diri dari pintu gua itu.

Akhirnya lelaki yang ketiga pula berdoa; " Ya Allah, ya Tuhan ku.
Sesungguhnya aku telah mengupah beberapa orang pekerja untuk melakukan
satu pekerjaan. Aku telah membayar upah kecuali seorang pekerja yang telah
meninggalkan tempat itu tanpa mengambil wang upahnya terlebih dahulu.
Wang itu telah aku kembangkan sehingga menjadi banyak.

Pada suatu hari dia datang menanyakan tentang wang upahnya itu. Aku
jawab: "Semua unta, lembu, kambing dan hamba sahaya yang engkau lihat di depan
matamu itulah upahnya yang engkau tinggal kepada ku dulu."

Orang itu menjawab: "Kau mempermainkan aku?"

Aku menjawab: "Tidak. Aku tidak mempermainkan engkau, memang benar itu
harta mu. Ambillah semuanya."

Dia pun mengambil semua hartanya tanpa meninggalkan sedikitpun. Wahai
Tuhanku, andai kata perbuatanku itu mendapat keredhaan Mu maka
lepaskanlah kami dari bencana yang sedang kami hadapi ini."

Lalu batu besar itu pun bergerak sehingga pintu gua terbuka lebar
membolehkan ketiga-tiga lelaki itu keluar dengan selamat."

Dari apa yang Rasulullah sabdakan itu, jelas menggambarkan bagaimana
tiga lelaki soleh itu dapat keluar dari gua kerana doa dan amalan baik yang
dilakukannya telah dimakbulkan Allah.

Cerita lelaki yang memuliakan ibu bapa itu memperlihatkan kepada kita
bahawa orang yang beriman benar-benar memuliakan ibu bapa mereka dan
sungguh-sungguh berbakti dan memelihara keselamatan dan kebajikan ibu
bapa mereka. Keperluan ibu bapa diutamakan dari orang lain mahupun dirinya
sendiri. Sehingga sanggup menderita dan bersusah payah asalkan ibu bapa
hidup senang.

Begitu juga lelaki yang kedua, dia sungguh-sungguh takutkan Allah,
apabila diperingatkan akan Allah, segera takut. Kerana takut itu dia segera
meninggalkan maksiat, perkara yang dimurkai Allah.

Begitu juga lelaki yang ketiga, kerana kejujurannya memelihara amanah,
sedia berkhidmat dan menolong orang lain. Ia sentiasa bertolak ansur, tidak
mengikut kehendak nafsu.

Sifat-sifat yang dimiliki oleh tiga lelaki ini seharusnya menjadi contoh
kepada kita semua. Betapa Allah memuliakan mereka di dunia. Apa lagi di
akhirat nanti diberi ganjaran pahala dengan nikmat kebahagiaan di
syurga.

Wallahua'lam

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...