Sebuah rumahtangga bahagia ialah rumahtangga yang dikendalikan mengikut
nilai-nilai yang dikehendaki oleh Allah swt. Tidak boleh dikatakan
rumahtangga sekiranya sesebuah rumahtangga itu tidak dapat diatur dan
disusun mengikut apa yang dikehendaki Allah walaupun keadaan rumahtangga itu nampaknya tenang dan aman.
Dalam hal ini, kebijaksanaan suami dalam mengendalikan rumahtangga menjadi
faktor penting untuk mencapai tujuan itu. Perkara yang utama yang patut
dilakukan oleh suami ialah berakhlak dengan isterinya.
Maksud berakhlak di sini ialah si suami mestilah seorang penyabar dalam
mendidik isterinya. Dalam ertikata yang lain si suami mestilah sanggup menghadapi derita dan sengsara disebabkan kerenah isterinya. Ini adalah kerana kaum perempuan itu dijadikan oleh Allah sebagai makhluk yang lemah.
Terutamanya, akal fikiran mereka adalah pendek dan sebab itulah mereka
bertindak gopoh dan mudah melenting.
Oleh yang demikian ketika isteri marah, suami kenalah menaruh perasaan belas kasihan dengan mendiamkan diri dan bersabar. Biarkan dia bercakap apa sahaja kerana apabila kehabisan modal untuk bercakap dia akan diam.
Jangan dilawan cakapnya kerana akan lebih banyaklah modal percakapannya. Jangan pula lari meninggalkannya kerana kalau lari, apabila suami balik semula, siisteri akan sambung balik percakapannya. Tunggu dan diam sampai si isteri berhenti bercakap. Lepas itu kalau si suami hendak bercakap pun sudah boleh.
Sebenarnya itulah rahsia yang ada pada seorang isteri, apabila telah habis
melepaskan apa yang hendak dicakapnya, dia akan tenang kembali kerana
seperti yang dikatakan, fikirannya adalah di atas lidah sahaja. Sebab
itulah, kalau si suami tidak melawan cakap-cakap isteri, rumahtangga akan
lebih selamat.
Pokoknya si suami hendaklah sabar banyak-banyak dan sanggup menanggung
kesakitan itu.
Tentang kaum perempuan ini kurang akal atau fikirannya, Rasulullah saw ada
bersabda yang
bermaksud:
"Kurang akal fikiran perempuan ini Tuhan jadikan begitu."
Sebab itulah, Allah swt menghendaki dua saksi orang perempuan untuk menyamai
satu saksi kaum lelaki. Atas dasar inilah, para suami diseru oleh Allah swt
didalam Al Quran dengan firman yang bermaksud:
"Hendaklah suami-suami bergaul dengan isteri-isteri itu dengan
sebaik-baiknya. "
Rasulullah saw ada menyatakan bahawa barangsiapa yang sanggup menahan
penderitaan atau sabar di atas kejahatan serta perangai isteri mereka Allah
swt akan memberi mereka pahala sebagaimana pahala bagi Nabi Ayub.
Menurut sejarah Rasulullah saw adalah orang yang paling baik akhlaknya
terhadap isteri-isterinya.
Beliau dapat menahan segala kemarahan terhadap isterinya yang kadang-kadang
membuat ragam juga. Sebab itulah sabda Rasulullah saw yang maksudnya:
"Sebaik-baik kamu ialah orang yang paling baik dengan isterinya. Aku adalah
orang yang paling baik dengan isteriku."
Dalam satu peristiwa, Siti Aisyah telah memarahi Rasulullah. Kata Siti Aisyah kepada beliau, "Engkaukah orang yang mengaku Nabi?" Nabi hanya senyum sahaja. Kemudian Rasulullah berkata, "Aku tahu, kalau engkau marah kepada aku, kau cakaplah begini, "Demi Allah Tuhan Ibrahim." Kalau engkau gembira dengan aku, kau katalah "Demi Tuhan Muhammad." Jawab Aisyah, "Betul kata
engkau itu. Masa aku marah, aku tidak sebut nama engkau."
Di masa lain pula Siti Aisyah telah menolak Rasulullah saw dari belakang hingga beliau hampir jatuh. Emak Siti Aisyah ternampak perangai Aisyah lalu ditamparnya muka Aisyah. Kemudian berkata Rasulullah saw, "Biarkanlah dia
begitu. Sebenarnya dia telah banyak berbuat kepada aku, lebih dari itu lagi."
Sewajarlah para suami mengambil iktibar daripada banyak ragamnya
isteri-isteri Rasulullah saw.
Sebenarnya bukan Siti Aisyah sahaja yang membuat karenah malah isteri-isteri
Rasulullah yang lain juga. Tetapi Rasulullah boleh hadapi semuanya dengan
senyum sahaja.
Kalau isteri Rasulullah bertaraf Ummahatul Mukminin itu pun ada juga
ragamnya dan wanita-wanita solehah di zaman Rasulullah yang mendapat didikan
langsung dari Rasulullah itu pun banyak ragamnya, apa lagilah wanita-wanita
dan isteri-isteri di zaman yang telah jauh dari zaman Rasulullah ini.
Sebenarnya Allah swt jadikan isteri-isteri Rasulullah demikian ragamnya
supaya dapat menjadi contoh kepada umat Nabi Muhammad yang kemudian ini
tentang akhlak Rasulullah saw bila berhadapan dengan isteri-isterinya.
Kalaulah Allah jadikan isteri Rasulullah itu baik semuanya, jadi tidak ada
contohlah para suami tentang bagaimana sikap yang patut dilakukan ketika
isteri meragam untuk mengekalkan kebahagiaan rumahtangga. Sebab itulah, bila
Allah jadikan Siti Aisyah dan isteri-isteri Raulullah begitu untuk menjadi
contoh dan dapatlah diambil teladan darinya. Yang demikian, bolehlah si
suami memujuk hati dengan mengatakan, "Sedangkan Rasulullah tidak
marah-marah, sepatutnya
aku pun bagitu juga."
Lagipun, banyak ragam ini tidak mencacatkan kesolehan wanita. Sebab itu,
para suami jangan lekas naik radang dan menuduh isteri nusyuz, engkar dan
sebagainya. Banyak ragam tidak menjadikan isteri nusyuz. Cuma ketika itu
isteri sedang naik angin, biarkan sahaja sehingga angin itu sejuk. Nanti
akan baiklah dia. Sebab itulah para suami dikehendaki banyak bersabar dalam
mendidik isterinya..
Si suami bukan sahaja mesti bersabar dengan kelakuan isterinya malah disuruh
juga oleh Allah supaya bergurau-gurau dan bermain-main dengan isterinya.
nabi juga menyuruh para suami bermesra dengan bergelak ketawa bersenda-senda
dengan isteri. Janganlah suami-suami sentiasa bersikap terlalu serius dengan
para isteri untuk mempertahankan kehebatan. Kalau sesama lelaki bolehlah
menjaga kehebatan masing-masing dan tidak digalakkan selalu sangat bergurau
sesama lelaki. Tetapi dengan isteri sepatutnya si suami mestilah banyak
bergurau.
Malah Rasulullah saw sendiri amat suka bersenda gurau dengan isterinya,
hinggakan semasa Rasulullah bergurau dengan isterinya, dia sanggup
menurunkan darjatnya seperti seorang perempuan. Ertinya, Rasulullah turut
bergurau macam seorang perempuan bergurau iaitu sindir menyindir, cubit
mencubit dan sebagainya.
Pernah dalam satu gurauannya dengan Siti Aisyah mengajak isterinya itu
berlari-lari. Sedangkan ketika itu Siti Aisyah muda belia berumur 16 tahun.
Sedangkan Rasulullah sudah berumur 60 tahun, tapi Rasulullah tetap lakukan
juga kerana hendak menghibur-hiburkan hati isterinya. Walaupun begitu,
apabila beliau berlumba lari dengan Siti Aisyah, Rasulullah tetap menang
sebab Rasulullah tetap menang sebab Raulullah juga adalah ahli sukan yang
pantas disebabkan beliau sentiasa riadah dengan menunggang kuda, bermain
pedang dan lain-lain senjata.
Justeru itu para suami eloklah memperbanyakkan gurau senda dengan isteri
masing-masing dan eloklah sekali sekala mengajak isteri berlumba-lumba dan
sebagainya. Begitu juga dalam soal masak-memasak dan mengemas rumah, suami
hendaklah membuat kerja tersebut sebagaimana telah dilakukan oleh Rasulullah
saw. Sesungguhnya sunnah nabi itu adalah ikutan yang paling baik.
Suami yang baik ialah suami yang memberi contoh tauladan dalam mendidik isteri. Jadikan masa yang terluang atau masa rehat itu dipenuhi dengan aktiviti-aktiviti yang memberi faedah, bukan dengan aktiviti-aktiviti seperti berbual-bual kosong di kedai-kedai kopi, di tempat-tempat maksiat dan sebagainya. Begitu juga dengan aktiviti memancing atau bersukan dan lain-lain yang kadang-kadang sampai tertinggal ibadah sembahyang.
Di sini saya ingin menyentuh sedikit tentang ibadah sembahyang di
surau-suara atau di masjid-masjid. Hari ini, baik di surau-surau atau di masjid-masjid sudah kurang dikunjungi oleh umat Islam untuk bersembahyang
jemaah atau mendengar kuliah agama. Apa yang menyedihkan, ada di antara
orang-orang yang rumah-rumahnya berhampiran dengan masjid atau surau-surau
pun tidak terlangkah oleh kaki untuk mengerjakan ibadah sembahyang berjemaah
atau mendengar kuliah agama.
Ada di setengah-setengah tempat sampai imam sembahyang yang dilantik pun
jarang sembahyang berjemaah, ini tidak termasuk lagi ahli jawatan kuasa
masjid atau surau yang tidak ada rasa tanggungjawab untuk memberi contoh
kepada makmum-makmun yang lain.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan