19 Ogos 2010

Apa itu Istidraj...

Minggu lepas, kawan seofis Fendi tanya "Kenapa kadang kala kita lihat seseorg insan tu sentiasa dapat kegembiraan spt dapat naik pangkat, murah rezeki dll sedangkan dia tu selalu melakukan kemungkaran? ".

So,Fendi pun jawablah yang kdg kala sesuatu anugerah Allah swt kpd seseorg individu tu bukanlah sebab Allah sayangkan hambanya itu tetapi kerana Allah nak tengok sejauh mana keikhlasan orang itu. Allah nak tengok adakah hambanya itu akan menyedari bahawa Allah amat bermurah hati dengannya jadi sepatutnya dia bersyukur dan berubah menjadi baik. Tapi jika individu itu masih tidak reti bersyukur maka sesungguhnya dia telah menimbulkan kemurkaan Ar-Rahman.Teringat juga Fendi pd satu penjelasan ustazah sekolah rendah dulu.

Ada member tanya kenapa kdg2 kita dah banyak kali berdoa tapi belum dapat apa yang diimpikan. Ustazah kata itu tandanya Allah sayang pada kita.Sebabnya Allah tahu kalau kita lambat atau belum dpt yg diimpikan, kita akan terus berdoa dan mengingati Ilahi. Sebenarnya Allah amat rindukan suara hamba-hambaNya merayu dan memujiNya. Kalau sekali berdoa terus dapat, kemungkinan besar lepas tu kita kita taksub dan lupa utk bersyukur pd yg Esa.


Tup-tup dpt pula artikel ni drp seorg rakan. A very relevant and interesting article. Semoga Allah beratkan timbangan ibadah kita drp timbangan dosa di Pdg Mahsyar nanti. InsyaAllah..

Apakah dia istidraj itu?

Ianya adalah pemberian nikmat Allah kepada manusia yang mana pemberian itu tidak diredhaiNya. Inilah yang dinamakan istidraj.

Rasullulah s. a.w. bersabda :"Apabila kamu melihat bahawa Allah Taala memberikan nikmat kepada hambanya yang selalu membuat maksiat (durhaka),ketahuila h bahawa orang itu telah diistidrajkan oleh Allah SWT."
(Diriwayatkan oleh At-Tabrani, Ahmad dan Al-Baihaqi)
Tetapi, manusia yang durhaka dan sering berbuat maksiat yang terkeliru dengan pemikirannya merasakan bahawa nikmat yang telah datang kepadanya adalah kerana Allah berserta dan kasih dengan perbuatan maksiat mereka.

Masih ada juga orang ragu-ragu, kerana kalau kita hendak dapat kebahagian didunia dan akhirat kita mesti ikut jejak langkah Rasullulah saw dan berpegang teguh pada agama Islam.

Tetapi bagaimana dengan ada orang yang sembahyang 5 waktu sehari semalam, bangun tengah malam bertahajjud, puasa bukan di bulan Ramadhan sahaja, bahkan Isnin, Khamis dan puasa sunat yang lain. Tapi, hidup mereka biasa sahaja. Ada yang susah juga. Kenapa? Dan bagaimana pula orang yang seumur hidup tak sembahyang, puasa pun tak pernah, rumahnya tersergam indah, kereta mewah menjalar, duit banyak, dia boleh hidup kaya dan mewah.

Bila kita tanya, apa kamu takut mati? Katanya, alah, orang lain pun mati juga, kalau masuk neraka, ramai-ramai.

Tak kisahlah! Sombongnya mereka, takburnya mereka.

Rasullulah s. a. w. naik ke langit bertemu Allah pun tak sombong, Nabi Sulaiman, sebesar-besar pangkatnya sehinggakan semua makhluk di muka bumi tunduk di bawah perintahnya pun tak sombong! Secantik-cantik Nabi Yusof dan semerdu suara Nabi Daud, mereka tak sombong. Bila sampai masa dan ketikanya, mereka tunduk dan sujud menyembah Allah.

Manusia istidraj - Manusia yang lupa daratan. Walaupun berbuat maksiat, dia merasa Allah menyayanginya. Mereka memandang hina kepada orang yang beramal. "Dia tu siang malam ke masjid, basikal pun tak mampu beli, sedangkan aku ke kelab malam pun dengan kereta mewah. Tak payah beribadatpun, rezeki datang mencurah-curah. Kalau dia tu sikit ibadat tentu boleh kaya macam aku, katanya sombong." Sebenarnya, kadang-kadang Allah memberikan nikmat yang banyak dengan tujuan untuk menghancurkannya.

Rasullulah s. a. w bersabda: "Apabila Allah menghendaki untuk membinasakan semut, Allah terbangkan semua itu dengan dua sayapnya" (Kitab Nasaibul æIbad) Anai-anai, jika tidak bersayap, maka dia akan duduk diam di bawah batu atau merayap di celah-celah daun, tetapi jika Allah hendak membinasakannya, Allah berikan dia sayap. Lalu, bila sudah bersayap,

anai-anai pun menjadi kelkatu. Kelkatu, bila mendapat nikmat(sayap) , dia akan cuba melawan api. Begitu juga manusia, bila mendapat nikmat, cuba hendak melawan Allah swt.

Buktinya, Firaun. Nikmatnya tak terkira, tidak pernah sakit, bersin pun tidak pernah kerana Allah berikannya nikmat kesihatan. Orang lain selalu sakit, tapi Firaun tidak, orang lain mati, namun dia masih belum mati-mati juga, sampai rasa angkuh dan besar diri lantas mengaku dirinya tuhan. Tapi dengan nikmat itulah Allah binasakan dia.

Namrud, yang cuba membakar Nabi Ibrahim. Betapa besar pangkat Namrud? Dia begitu sombong dengan Allah, akhirnya menemui ajalnya hanya disebabkan seekor nyamuk masuk ke dalam lubang hidungnya.

Tidak ada manusia hari ini sekaya Qarun. Anak kunci gudang hartanya sahaja kena dibawa oleh 40 ekor unta. Akhirnya dia ditenggelamkan bersama-sama hartanya sekali akibat terlalu takbur. Jadi kalau kita kaya, jangan sangka Allah sayang, Qarun lagi kaya, akhirnya binasa juga.

Jadi, jika kita kaji dan fikir betul-betul, maka terjawablah segala keraguan yang mengganggu fikiran kita. Mengapa orang kafir kaya, dan orang yang berbuat maksiat hidup senang /mewah.

Pemberian yang diberikan oleh Allah pada mereka bukanlah yang diredhaiNya. Rupa-rupanya ianya adalah bertujuan untuk menghancurkannya. Untuk apa hidup ini tanpa keredhaanNya? Tetapi jangan pula ada orang kaya beribadat, masuk masjid dengan kereta mewah kita katakan itu istidraj.

Orang naik pangkat, istidraj. Orang-orang besar, istidraj. Jangan! Orang yang mengunakan nikmatnya untuk kebajikan untuk mengabdi kepada Allah bukan istidraj. Dan jangan pula kita tidak mahu kekayaan. Kalau hendak selamat, hidup kita mesti ada pegangan.

Bukan kaya yang kita cari, juga bukan miskin yang kita cari. Tujuan hidup kita adalah mencari keredaan Allah. Bagaimana cara untuk menentukan nikmat yang diredhai Allah? Seseorang itu dapat menyedari hakikat yang sebenarnya tentang nikmat yang diterimanya itu ialah apabila dia bersyukur nikmatnya.

Dia akan mengunakan pemberian ke jalan kebaikan dan sentiasa redha dan ikhlas mengabdikan diri kepada Allah. Maka segala limpah kurnia yang diperolehi itu adalah nikmat pemberian yang diredhai Allah. Bila tujuan hidup kita untuk mencari keredhaan Allah, niscaya selamatlah kita di dunia dan akhirat.

Wallahualam.


"Dari Abdullah bin 'Amr R. A, Rasulullah S. A. W bersabda:

" Sampaikanlah pesanku biarpun satu ayat.."

Jalan-Jalan Syurga

Pagi Jumaat....

Pada setiap Jumaat, selepas selesai menunaikan solat Jumaat, seorang Imam
dan anaknya yang berumur 7 tahun akan berjalan menyusuri jalan di kota itu
dan menyebarkan risalah bertajuk "Jalan-jalan Syurga" dan beberapa karya
Islamik yang lain .

Pada satu Jumaat yang indah, pada ketika Imam dan anaknya itu hendak keluar
seperti biasa meghulurkan risalah-risalah Islam itu, hari itu menjadi amat
dingin dan hujan mulai turun.

Anak kecil itu mula membetulkan jubahnya yang masih kering dan panas dan
seraya berkata "Ayah! Saya dah bersedia"

Ayahnya terkejut dan berkata "Bersedia untuk apa?". "Ayah bukankah ini
masanya kita akan keluar menyampaikan risalah Allah"

"Anakku! Bukankah sejuk keadaan di luar tu dan hujan juga agak lebat"
"Ayah bukankah masih ada manusia yang akan masuk neraka walaupun ketika
hujan turun"

Ayahnya menambah "Ayah tidak bersedia hendak keluar dalam keadaan cuaca
sebegini"
Dengan merintih anaknya merayu "Benarkan saya pergi ayah?"

Ayahnya berasa agak ragu-ragu namun menyerahkan risalah-risalah itu
kepada anaknya "Pergilah nak dan berhati-hatilah. Allah bersama-sama kamu!"

"Terima kasih Ayah" Dengan wajah bersinar-sinar anaknya itu pergi meredah
hujan dan susuk tubuh kecil itu hilang dalam kelebatan hujan itu.
Anak kecil itu pun menyerahkan risalah-risalah tersebut kepada sesiapa pun
yang dijump ain ya. Begitu juga dia akan mengetuk setiap rumah dan
memberikan risalah itu kepada penghuninya.

Setelah dua jam, hanya tinggal satu saja risalah "Jalan-jalan Syurga" ada
pada tangannya. DIa berasakan tanggungjawabnya tidak akan selesai jika
masih ada risalah di tangannya. Dia berpusing-pusing ke sana dan ke mari
mencari siapa yang akan diserahkan risalah terakhirnya itu namun gagal.

Akhirnya dia ternampak satu rumah yang agak terperosok di jalan itu dan
mula mengatur langkah menghampiri rumah itu. Apabila sampai sahaja anak itu
di rumah itu, lantas ditekannya loceng rumah itu sekali. Ditunggunya
sebentar dan ditekan sekali lagi namun tiada jawapan. Diketuk pula pintu itu
namun sekali lagi tiada jawapan.

 Ada sesuatu yang memegangnya daripada pergi,
mungkin rumah inilah harapannya agar risalah ini diserahkan. Dia
mengambil keputusan menekan loceng sekali lagi. Akhirnya pintu rumah itu dibuka.
Berdiri di depan pintu adalah seorang perempuan dalam lingkungan 50an.
Mukanya suram dan sedih. "Nak, apa yang makcik boleh bantu?"
Wajahnya bersinar-sinar seolah-olah malaikat yang turun dari langit.

"Makcik, maaf saya mengganggu, saya hanya ingin menyatakan yang ALLAH
amat sayangkan makcik dan sentiasa memelihara makcik. Saya datang ini hanya
hendak menyerahkan risalah akhir ini dan makcik adalah orang yang paling
bertuah". Dia senyum dan tunduk hormat sebelum melangkah pergi.

"Terima kasih nak dan Tuhan akan melindungi kamu" dalam nada yang lembut
Minggu berikutnya sebelum waktu solat Jumaat bermula, seperti biasa Imam
memberikan ceramahnya. Sebelum selesai dia bertanya " Ada sesiapa nak
menyatakan sesuatu"

Tiba-tiba sekujur tubuh bangun dengan perlahan dan berdiri. Dia adalah
perempuan separuh umur itu. "Saya rasa tiada sesiapa dalam perhimpunan
ini yang kenal saya. Saya tak pernah hadir ke majlis ini walaupun sekali.

Untuk pengetahuan anda, sebelum Jumaat minggu lepas saya bukan seorang Muslim.
Suami saya meninggal beberapa tahun lepas dan meninggalkan saya keseorangan
dalam dunia ini" Air mata mulai bergenang di kelopak matanya.

"Pada Jumaat minggu lepas saya mengambil keputusan untuk membunuh diri.
Jadi saya ambil kerusi dan tali. Saya letakkan kerusi di atas tangga
menghadap anak tangga menuruni. Saya ikat hujung tali di galang atas dan hujung
satu lagi diketatkan di leher.

Apabila tiba saat saya untuk terjun, tiba-tiba loceng rumah saya berbunyi.
Saya tunggu sebentar, pada anggapan saya siapa pun yang menekan itu
akan pergi jika tidak dijawab. Kemudian ia berbunyi lagi.

Kemudian saya mendengar ketukan dan loceng ditekan sekali lagi".
"Saya bertanya sekali lagi. Belum pernah pun ada orang yang tekan loceng
ini setelah sekian lama. Lantas saya melonggarkan tali di leher dan terus
pergi ke pintu".

"Seumur hidup saya belum pernah saya melihat anak yang comel itu.
Senyumannya benar-benar ikhlas dan suaranya seperti malaikat". "Makcik,
maaf saya mengganggu, saya hanya ingin menyatakan yang ALLAH amat sayangkan
makcik dan sentiasa memelihara makcik" itulah kata-kata yang paling
indah yang saya dengar".

"Saya melihatnya pergi kembali menyusuri hujan. Saya kemudian menutup
pintu dan terus baca risalah itu setiap muka surat . Akhirnya kerusi dan tali
yang hampir-hampir menyentap nyawa saya diletakkan semula ditempat asal
mereka.

Aku tak perlukan itu lagi".

"Lihatlah, sekarang saya sudah menjadi seorang yang bahagia, yang
menjadi hamba kepada Tuhan yang satu ALLAH. Di belakang risalah terdapat alamat
ini dan itulah sebabnya saya di sini hari ini. Jika tidak disebabkan
malaikat kecil yang datang pada hari itu tentunya roh saya ini akan berada
selama-lamanya di dalam neraka"

Tiada satu pun anak mata di masjid itu yang masih kering. Ramai pula
yang berteriak dan bertakbir ALLAHUAKBAR!

Imam lantas turun dengan pantas dari mimbar lantas terus memeluk anaknya
yang berada di kaki mimbar dan menangis sesungguh-sungguh hatinya.
Jumaat ini dikira Jumaat yang paling indah dalam hidupnya. Tiada
anugerah yang amat besar dari apa yang dia ada pada hari ini. Iaitu anugerah yang
sekarang berada di dalam pelukannya. Seorang anak yang seumpama
malaikat.

Biarkanlah air mata itu menitis. Air mata itu anugerah ALLAH kepada
makhlukNya yang penyayang.
Panjangkanlah risalah ini. Ingat ALLAH sentiasa menyayangi dan
memelihara kamu!


Wassallam

Solat Itu Buang Masa ?

22 Januari 2010 pada 10:55 am (Zikir & Fikir)
Tags: bukan islam, jepun, pembangunan manusia, solat
Oleh Ustaz Pahrol Mohd Juoi Telagabiru.net


SOLAT ITU BUANG MASA?

“Mengapa orang Islam banyak buang masa untuk bersembahyang?” Anda terkejut?
Sudah tentu. Ini adalah soalan yang jarang kita dengar. Soalan ini
ditanyakan pada saya lebih kurang 15 tahun yang lalu ketika berada di
Jepun. Ia diajukan oleh pelajar-pelajar Jepun yang melihat pelajar-pelajar
Malaysia solat lima waktu sehari semalam.

Sebelum menjawab soalan ini, saya menyoal kembali pelajar-pelajar Malaysia
yang hadir dalam majlis usrah itu:
“Mengapa soalan seumpama ini ditanyakan ketika kamu di sini, tidak di
Malaysia?”
Seorang pelajar menjawab, “kerana mereka jarang melihat orang solat.”
Yang lain menjawab, “mereka menyembah berhala mereka sekali-skala. Tidak
sekerap dan selama kita umat Islam.”

Saya senyum. Pelajar-pelajar itu berminat sungguh untuk mendalami Islam.
Mereka mendekati Islam lebih serius berbanding ketika mereka di Malaysia
dahulu. Ketika di perantauan, ramai yang kembali gigih menghayati agama
sebagai perisai diri daripada kejutan budaya dan godaan persekitaran yang
terlalu mencabar.

“ Ada sebab lain?” tanya saya sekadar mengundang reaksi. Mereka diam.
Mungkin terus berfikir.
 “Orang Jepun sangat menghargai masa. Pengurusan masa mereka sangat efisien.
Majoritinya tidak membuang masa…” kata saya meluahkan hasil pemerhatian
secara rambang. Memang, ketika di dalam kereta api kebanyakan mereka
membaca. Buku-buku dan komik banyak tersusun di baha gian atas syiling
kereta api.

“Jadi bagi orang Jepun yang tidak membuang masa, 5 ke 10 minit yang kita
luangkan untuk mengerjakan satu waktu solat dirasakan telah membuang masa.
Sebab itu mereka bertanya, mengapa kita membuang masa. Sebab itu soalan itu
timbulnya di kalangan orang Jepun. Kenapa tidak di kalangan orang kita di
Malaysia? ”

“Sebab orang kita masih ramai yang membuang masa,” jawab seorang pelajar
secara spontan. Saya senyum, sam bil mengangguk kepala. Bagi orang yang banyak membuang
masa, apalah ertinya 5 atau 10 minit untuk solat. Bagi mereka yang suka
melepak, berbual kosong, berlegar-legar di pusat membeli-belah sampai
berjam-jam apalah harga masa yang sebanyak itu. Tidak jadi kudis. Namun
tidak bagi orang Jepun, masa beberapa minit untuk aktiviti yang tidak
penting (termasuk solat – pada pandangan mereka) sangat membazir masa.

“Apa yang saudara jawab?” tanya saya menduga. Gembira melihat mereka
tercabar begitu. Kekadang kecintaan dan kefahaman kita terhadap Islam hanya
timbul dengan adanya cabaran dan perlecehan.
“ Susah nak jawab sebab Allah perintahkan kita. Mana mereka boleh terima
jawapan yang begitu.”
“Perlu dijawab begitu. Sebab Allah, Tuhan kami perintahkan begitu.”
“ Tapi kalau ditanya lagi apa sebabnya Tuhan kamu perintahkan begitu?”
“Jawablah, Allah Maha Mengetahui apa yang terbaik untuk hamba-Nya daripada
hamba itu sendiri,” jawab saya.

“Mungkin mereka terima jawapan dari perspektif kita. Tapi bagaimana kalau
kita nak jawab yang logik dan rasional mengikut perspektif mereka?” tanya
seorang penuntut tahun akhir kejuruteraan elektrik (seingat saya).
Bagus soalan itu. Saya memang menantikan respons yang lebih kritikal dan
berani.

“Tanyakan mereka, apa yang kamu buat untuk memastikan alat-alat teknologi
kamu dalam keadaan yang baik? Bukankah kamu sentiasa menyelenggarakannya?
Lebih canggih alat teknologi kamu, maka semakin kerap kamu
menyelenggarakannya. Kamu sentiasa buat “maintanance” kapal terbang, kereta
api elektrik (“bullet train”) dan kereta kamu…” terang saya.

Pelajar-pelajar yang berjumlah 20 orang itu tidak berganjak. Hawa musim
dingin kota Ibaraki itu sekali-sekala mencuri masuk melalui regangan
tingkap yang terbuka. Nyaman.
“Kemudian tanyakan mereka siapa yang lebih canggih, alat-alat atau jentera
teknologi yang dicipta itukah atau pun manusia yang menciptanya?”
“Tentulah manusia,” jawab mereka hampir serentak.

“Nah, kalau begitu tanyakan mereka, kalau kamu sering malah sentiasa
selenggarakan alat-alat teknologi yang canggih, mengapa kamu tidak
selenggarakan diri kamu yang lebih canggih?
“Mereka akan tanya, bagaimana nak selenggarakan diri kami?”
“Itu kami tidak pasti. Tetapi bagi kami orang Islam, solat adalah cara kami
“maintenance” diri kami. Malang sekali kalau kamu hanya menyelenggarakan
alat-alat teknologi kamu tetapi kamu lupa menyelenggarakan diri kamu
sendiri.”
“Kalau mereka bertanya apakah yang dimaksudkan dengan menyelenggarakan diri
pada seorang manusia?”

“Seorang itu dikatakan menyelenggarakan dirinya jika ia membersihkan hati,
menstabilkan emosi dan menenangkan fikirannya. Inilah yang berlaku dalam
solat yang sempurna. Seorang itu mengadu, merayu, merintih dan menyerahkan
kembali segala kegalauan, keresahan dan keserabutan jiwanya kepada zat yang
mampu dan mahu menyelesaikan segala-galanya. Siapa lagi kalau bukan kepada
Allah!”

“Orang yang solat tidak akan sakit jiwa. Stres dan tekanan emosinya
terkawal,” sam puk seorang pelajar di barisan belakang.
“Sebab itu orang Islam tidak bunuh diri walau bagaimana besar sekali pun
masalah yang mereka hadapi,” tambah yang lain.
“Tidak seperti orang Jepun, kadar membunuh diri di kalangan mereka tinggi!”

“Dan ketika itulah mereka mungkin boleh disedarkan betapa solat yang
beberapa minit itu bukan sahaja tidak membuang masa bahkan sangat penting
sekali dalam kehidupan seorang manusia,” ujar saya sebagai satu kesimpulan.

SOLAT ITU SOAL PERIBADI?

Itu kisah orang Jepun yang bukan Islam. Sekarang mari kita ikuti kisah
orang Islam sendiri dengan solat.
“Maaf, solat ini soal peribadi. Siapa yang nak buat sila, dah ada surau pun
dalam bangunan ini. Siapa yang tak mahu, tak boleh paksa. Itu hal masing-masing.”

“Ya, solat tidak boleh dipaksa. Tetapi kita sebagai saudara seIslam, wajib ingatkan.
Dan saya ingin mengingatkan saudara, solat bukan soal peribadi,” tekan saya.

Mengapa?”

“Solat itu mencegah seseorang dari kejahatan dan kemungkaran.”
“Itu saya tahu. Solat boleh mencegah kemungkaran. Saya pun selalu juga
dengar kuliah-kuliah Subuh. Tapi ini dalam syarikat, kita tak perlu
mengulang input-input dalam kuliah Subuh tu. Di sini kita bekerja, kita
berniaga…”

“Tuan, masa kita berniaga dan bekerjalah selalunya godaan dan cabaran
datang. Banyak kemungkaran dalam berniaga dan bekerja,” tusuk saya
perlahan.
“Kemungkaran dalam kerja? Apa tu?”
“Ponteng, curi tulang, rasuah, melawan atasan, menindas bawahan, umpat, adu
domba dan sebagainya. Kemungkaran ini bukan soal peribadi. Jika seorang
melakukannya, ia memudaratkan yang lain. Lama-kelamaan ia berjangkit
menjadi budaya yang negatif dalam syarikat. Ini akan menjejaskan operasi
dan perjalanan syarikat secara keseluruhan.”

“Kita sudah ada undang-undang dan disiplin organisasi. Itu sebagai kawalan
untuk anggota kita tidak melakukan penyelewengan.”
“Undang-undang mencegah kemungkaran dari luar tetapi solat mencegah
kemungkaran dari dalam. Kita perlukan kedua-dua pendekatan. Bahkan dalam
apa jua keadaan pencegahan dari dalam itu yang lebih berkesan.”

“Kenapa?” tanyanya sepatah-sepatah. Pengurus baha gian sumber manusia itu
masih tidak yakin betapa pentingnya kursus pemantapan solat dilaksanakan
dalam organisasi itu. Sejak dari tadi saya terkial-kial untuk meyakinkan
orang Islam sendiri tentang kaedah Islam mencegah penyelewengan dan salah
laku dalam syarikatnya.

“Sebab solat akan membina rasa takut, cinta dan patuh kepada Allah. Orang
yang begini akan meninggalkan kejahatan dengan kerelaan hati sendiri.
Ataupun jika mereka tersalah, mereka akan segera bertaubat.”
“Ah, apa pula pihak atasan kata nanti. Kita anjurkan kursus solat pula,
sedangkan selama ini kita giat menjalan kursus-kursus yang memberi
kemahiran profesional kepada anggota-anggota kita,” katanya berterus-terang.

“Orang atasan tidak mahukah melihat orang-orang bawahan dan seluruh
kakitangan syarikat ini jadi baik? Solat sangat penting untuk membentuk
manusia jadi baik.”
Dia merenung muka saya lalu berkata,”tetapi kalau baik sahaja tetapi tak
tahu bekerja, buat apa?”
“Dan kalau tahu buat kerja sahaja tetapi tidak jujur, buat apa?” balas saya.

Setelah melihat dia diam, saya menambah, “sebenarnya kita perlu
kedua-keduanya sekali. Pemantapan solat pun perlu, peningkatan kemahiran
profesional pun perlu. Alangkah baiknya jika kedua-duanya dilaksanakan
secara bersepadu dalam syarikat ini. Kita tidak ada masalah, bukankah
seluruh kakitangan syarikat ini beragama Islam?”
“ Kos … kos dan peruntukan latihan akan bertambah,” bala snya.

Kali ini saya pula terdiam.
"Tuan, untuk program latihan kemahiran kita rela berbelanja besar. Mengapa
untuk program pemantapan nilai-nilai Islam ini kita terlalu berkira?”
“Itu soal pihak atasan…” kilasnya.

“Tuan, di atas pihak atasan ini ada yang lebih atas lagi. Allah akan
bertanya kepada kita, apa yang kita laksanakan untuk mendidik orang bawahan
kita. Syarikat hakikatnya sebuah institusi. Kita akan ditanya oleh Allah
tentang orang di bawah pimpinan kita. Bukan soal makan-minum dan kebajikan
lahiriah mereka sahaja, tetapi juga soal iman dan Islam mereka.
“Baik tu baik. Tetapi…”

“Tuan, jika syarikat terlalu berkira dalam soal-soal tarbiah begini, saya
khuatir penyelewengan, rasuah, curi tulang dan lain-lain sikap negatif yang
tuan katakan mula merebak dalam syarikat ini akan bertambah kronik.
Pembaziran dan penyelewengan akan memporak-perandakan operasi. Produktiviti
dan kualiti akan menurun. Penjualan juga akan merosot. Pembaziran
berleluasa. Rasuah pula akan menyebabkan ketirisan wang yang bukan sedikit!
Ini menelan kos yang lebih berbanding kos pendidikan,” pujuk saya.
Dia termenung. Sambil menepuk-nepuk tangannya ke meja dia berkata,
“insya-Allah, nantilah akan saya fikirkan dulu.”
Saya menarik nafas. Begitulah cabaran dalam berdakwah. Setelah berhujah,
kita perlu pasrah menyerah kepada Allah, pohon taufik dan hidayah-Nya. Apa
pun benarlah seperti yang selalu diungkapkan, Islam adalah agama yang
paling banyak disalah tafsirkan, bukan sahaja oleh orang bukan Islam….
tetapi oleh orang Islam sendiri.

Di Jepun, di Mala ys ia atau di mana sahaja, Islam sering disalah tafsirkan.
Namun jangan pesimis atau kecewa. Itu bermakna peluang dan ruang untuk
dakwah sentiasa terbuka!

"Tiada seorang pun yang dapat membezakan antara sabar dengan mengeluh melainkan ia menemukan di antara keduanya.....

Adapun sabar dengan memperbaiki yang lahir, maka hal itu baik dan terpuji akibatnya. Dan adapun mengeluh, maka orangnya tidak mendapat ganti yakni sia-sia belaka."
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...