Memaparkan catatan dengan label Tenang. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Tenang. Papar semua catatan

19 Jun 2010

Al Quran Tenangkan Jiwa

Sesungguhnya al-Quran adalah kitab suci Allah yang diturunkan kepada setiap insan yang mengaku dirinya beragama Islam. al Quran mengandungi syariat-syariat dan garis-garis perundangan yang harus dipatuhi – diikuti dan ditinggalkan oleh setiap orang Islam. Mempercayai kitab Allah – al-Quran, termasuk daripada salah satu Rukun Iman.

Al-Quran yang mengandungi 6,666 ayat itu diturunkan kepada Nabi Muhammad SAW daripada Allah SWT melalui malaikat Jibrail. Tempat tumpuan al-Quran ialah pada hati baginda.

Al-Quran yang dibawa dari langit oleh malaikat Jibrail kepada Nabi Muhammad dituju kepada hati baginda. Kini Nabi Muhammad SAW sudah wafat.

Apabila kita mendengar seseorang membaca al-Quran atau pun kita sendiri membacanya, pada zahirnya ia masuk ke dalam telinga ke dalam tubuh orang yang mendengarnya. Pada hakikatnya ia masuk ke dalam hati. Tetapi apakah ia betul-betul sampai ke dalam hati.


Sekiranya ia sampai ke dalam hati, maka nyatalah ia benar-benar sampai kepada kita. Tetapi jika sebaliknya, maka nyata bahawa al-Quran masih belum sampai kepada kita.

Untuk mengetahui sama ada al-Quran sampai kepada hati maka lihatlah gerak geri dan peri laku seseorang. Hati adalah raja bagi tubuh badan. Segala anggota yang lain adalah bala tenteranya. Bala tentera akan bertindak laku mengikut apa yang diarah oleh ketua atau rajanya. Inilah yang lumrah terjadi dalam mana-mana angkatan perang.

Apabila hati telah diresapi oleh al-Quran maka segala tubuh badan pun akan bergerak laku sesuai dengan ajaran dan suruhan Al-Quran. Ia bercakap mengikut kehendak al-Quran, melihat mengikut kehendak al-Quran, berjalan, makan, minum dan segala-gala perlakuannya adalah mengikut kehendak al-Quran.

Apabila terjadi keadaan yang demikian – bergerak laku mengikut kehendak al-Quran maka jelaslah bahawa al- Quran telah menyerap masuk ke dalam hatinya. Sekiranya seseorang itu telah belajar hingga ke Makkah dan membawa balik serban dan jubah penuh beg, namun gerak lakunya masih tidak mengikut al-Quran maka al-Quran hanya sampai ke telinganya sahaja.

Al-Quran tidak sampai ke hati orang berkenaan kerana hatinya masih melakukan sesuatu yang bercanggah dengan al-Quran.

Dalam kehidupan kita seharian, keadaan ini dapat diumpamakan seperti kita pergi ke kedai kerana hendak membeli sesuatu barang. Mengapakah kita melewati beberapa buah kedai dan berhenti di kedai yang di hujung sekali sedangkan barang yang kita hendak beli itu terdapat juga di kedai yang pertama yang mula-mula kita tempuhi tadi.

Jawapannya ialah kerana hati dan jiwa kita adalah sesuai dengan penjualnya.

Dalam Islam, bukan membaca al-Quran saja yang menjadi ibadat dan amal yang mendapat pahala dan rahmat, malah mendengarnya pun mendapat balasan. Malah, sebahagian ulama mengatakan bahawa, mendengar orang membaca al-Quran, pahalanya sama dengan orang yang membacanya.

Pahala orang mendengar bacaan al-Quran dengan jelas disebut Allah dengan firmanNya yang bermaksud: “Dan apabila dibacakan al-Quran, maka dengarkanlah baik-baik dan perhatikanlah dengan tenang agar kamu mendapat rahmat.”(Surah al-A’raaf, ayat 204).

Mendengar bacaan al-Quran dengan baik, dapat menghibur perasaan sedih, menenangkan jiwa yang gelisah dan melunakkan hati yang keras serta mendatangkan petunjuk. Itulah yang dimaksudkan dengan rahmat Allah, yang diberikan kepada orang mendengar bacaan al-Quran dengan baik.

Demikian besar mukjizat al-Quran sebagai wahyu Ilahi, yang tidak bosan-bosan orang membaca dan mendengarnya. Malah, semakin sering orang membaca dan mendengarnya, semakin terpikat hatinya kepada al- Quran. Apabila al- Quran itu dibaca dengan lidah yang fasih, dengan suara baik dan merdu, ia akan memberi pengaruh kepada jiwa orang yang mendengarnya.

Keadaan orang mukmin tatkala mendengar bacaan al-Quran digambarkan oleh Firman Allah sebagai berikut: “Sesungguhnya, orang yang beriman itu, hanyalah mereka yang apabila disebut (nama) Allah, gementar hati mereka, dan apabila dibacakan kepada mereka ayatNya, bertambahlah iman mereka keranaNya dan kepada Tuhanlah mereka bertawakal.” (Surah al-Anfaal, ayat 2).


Diriwayatkan bahawa suatu malam, Nabi Muhammad SAW mendengar Abu Musa Al Asy’ari membaca al-Quran sampai jauh malam. Sepulang ke rumah, baginda ditanya oleh isterinya, Aisyah: “Apa sebabnya pulang sampai jauh malam ? Rasulullah menjawab bahawa: “Baginda terpikat oleh kemerduan suara Abu Musa Al Asy’ari membaca al-Quran, seperti merdunya suara Nabi Daud.”

Dalam riwayat, banyak diceritakan, betapa kuatnya kesan bacaan al-Quran terhadap hati orang kafir. Selepas mereka mendengar bacaan al-Quran, tidak sedikit hati yang pada mulanya keras dan marah kepada Nabi Muhammad serta pengikutnya, berbalik menjadi lembut dan mahu mengikuti ajaran Islam.

Rasulullah sendiri sangat gemar mendengar bacaan al-Quran daripada orang lain. Dalam sebuah hadis, yang diriwayatkan oleh Bukhari, disebutkan bahawa Abdullah Ibnu Mas’ud menceritakan sebagai berikut: “Rasulullah berkata kepadaku: “Hai Ibnu Mas’ud, bacakanlah al-Quran untukku !” Lalu aku menjawab: “Apakah aku pula yang membacakan al-Quran untukmu, ya Rasulullah, padahal al-Quran itu diturunkan Tuhan kepadamu?”

Rasulullah menjawab “Aku senang mendengar bacaan al-Quran itu daripada orang lain.”

Kemudian Ibnu Mas’ud membacakan beberapa ayat dari surat an-Nisaa. Rasulullah sangat terharu tatkala bacaan Ibnu Mas’ud itu sampai kepada ayat ke-41 yang berbunyi: “Maka bagaimanakah halnya orang kafir nanti, apabila kami mendatangkan seorang saksi (rasul dan nabi) dari tiap-tiap umat dan Kami mendatangkan kamu (Muhammad) sebagai saksi atas mereka itu (umatmu).”

Rasulullah lalu berkata: “Cukuplah, sekian saja, ya Ibnu Mas’ud!” Ibnu Mas’ud melihat Rasulullah menitiskan air matanya serta menundukkan kepalanya.



Oleh - Hashim Ahmad (Sinar Harian)

10 Jun 2010

Kenapa Hati Kita Tak Tenang

Setiap hari kita ketawa. Setiap hari kita jumpa kawan. Setiap hari kita dapat apa yang kita nak.
Tapi..kenapa hati kita tak gembira?
Kita sembahyang setiap hari. Kita berdoa selalu pada Allah. Kita mintak sungguh-sungguh pada Allah. Tapi..kenapa susah sangat doa kita nak makbul? Sedangkan Allah ada berfirman. "Berdoalah pada Ku, nescaya akan Ku kabulkan...,"

Apa masalah kita?

Hati kita tak gembira sebab:
1) kita tak pernah bersyukur dengan apa yang kita ada.
2) Kita tak pernah nak menghargai setiap nikmat yang kita dapat.
3) Kita asyik memikirkan benda yang kita tak ada, sampai kita lupa melihat nikmat sekeliling kita.

Kita berdoa, tapi kenapa payah sangat doa kita Allah nak makbulkan?
1)Sebab kita asyik meminta pada Allah, tapi kita tak pernah mintak ampun pada Allah, sedangkan dosa-dosa kita terlampau banyak pada Allah. Alangkah tidak malunya kita. Kita merintih, kita merayu agar Allah makbulkan doa kita.
2)Tapi, lepas kita dapat kesenangan kita lupa pada Allah, kita tak bersyukur pada Allah.
3)dah datang kesusahan, baru nak ingat Allah balik. Baru nak menangis, merintih..mintak Allah pandang kita.

Macam mana Allah nak makbulkan doa kita?

Cuba kita renung diri kita. Cuba hitung:
1-, berapa kali kita sebut kalimah syukur dalam satu hari? Tak payah seminggu, cukuplah sehari sahaja. Berapa kali agaknya? Itupun kalau ada sebut la..
2-Pernah kita bangun malam, solat sunat...solat tahajud..solat taubat? Pernah? Ada...waktu zaman sekolah dulu. Itupun, lepas kene ketuk dengan warden, suruh bangun. Lepas tu...ada? Ada...time dah nak exam...waktu rasa result macam ada aura nak fail. Siap buat solat hajat lagi! Lepas dapat result tu, ada tak buat sujud syukur? Hmm...entah la, tak ingat pulak.

Hari-hari kita buat baik. Kita tolong orang. Kita sedekah dekat orang. Kita buat macam-macam. Tapi kenapa kita tak dapat nak rasa kemanisan setiap perbuatan yang kita lakukan tu? Hati kita tetap jugak tak tenang. Kenapa ye?
1) Sebab dalam hati kita tak ada sifat ikhlas. Mulut cakap ikhlas, hati kata lain. Macam mana tu?
2) Kita tolong orang sebab nak harapkan balasan.
3) Nakkan pujian.
4) Nakkan nama.
5) Kita riak dengan setiap kebaikan yang kita buat. Macam mana hati nak tenang?

Bila dapat kejayaan, kita bangga dengan apa yang kita ada.
Mula nak menunjuk-nunjuk dekat orang. Sampai lupa siapa sebenarnya yang bagi kejayaan tu dekat kita.

Alangkah tidak malunya kita..., Allah ciptakan kita sebagai khalifah di bumi ni. Kitalah sebaik-baik kejadian yang Allah pernah ciptakan sehinggakan semua makhluk sujud pada bapa kita, Nabi Adam kecuali Iblis Laknatullah. Betapa Allah muliakan kejadian manusia.

Tapi, kita sendiri tidak memelihara diri kita.
1-Kita lupa tanggungjawab kita sebagai hamba.
2-Kita lupa kepada yang mencipta diri kita.
3-Bahkan, kita alpa dengan nikmat yang ada.

Nabi Muhammad s.a.w, pada saat malaikat ingin mencabut nyawa Baginda, Baginda masih memikirkan umat-umatnya. Ummati! Ummati! Sampai begitu sekali sayang Rasulullah pada kita. Tapi kita....? Kita lupa pada Baginda Rasul. Berat benar lidah kita nak berselawat ke atas baginda. Macam mana hati kita nak tenang?

Lembutkanlah hati kita.
1-Tundukkan lah diri kita pada Allah.
2-Bersyukur dengan nikmat yang Allah pinjamkan pada kita. Semua itu tidak akan kekal. Bila-bila masa Allah boleh tarik balik semua itu.
3- Ikhlas kan lah hati dalam setiap perkara yang kita buat.

Sesungguhnya, hanya Allah sahaja yang berkuasa menilai keikhlasan hati kita. Insya Allah, kita akan dapat merasai kelazatan halawatul iman itu sendiri. Tenanglah dikau wahai hati...

dipetik dari:
Tenanglah Hati
www.iluvislam.com
Ainul Mardiyah
editor:mawaryangtinggi
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...