19 Ogos 2010

Solat Itu Buang Masa ?

22 Januari 2010 pada 10:55 am (Zikir & Fikir)
Tags: bukan islam, jepun, pembangunan manusia, solat
Oleh Ustaz Pahrol Mohd Juoi Telagabiru.net


SOLAT ITU BUANG MASA?

“Mengapa orang Islam banyak buang masa untuk bersembahyang?” Anda terkejut?
Sudah tentu. Ini adalah soalan yang jarang kita dengar. Soalan ini
ditanyakan pada saya lebih kurang 15 tahun yang lalu ketika berada di
Jepun. Ia diajukan oleh pelajar-pelajar Jepun yang melihat pelajar-pelajar
Malaysia solat lima waktu sehari semalam.

Sebelum menjawab soalan ini, saya menyoal kembali pelajar-pelajar Malaysia
yang hadir dalam majlis usrah itu:
“Mengapa soalan seumpama ini ditanyakan ketika kamu di sini, tidak di
Malaysia?”
Seorang pelajar menjawab, “kerana mereka jarang melihat orang solat.”
Yang lain menjawab, “mereka menyembah berhala mereka sekali-skala. Tidak
sekerap dan selama kita umat Islam.”

Saya senyum. Pelajar-pelajar itu berminat sungguh untuk mendalami Islam.
Mereka mendekati Islam lebih serius berbanding ketika mereka di Malaysia
dahulu. Ketika di perantauan, ramai yang kembali gigih menghayati agama
sebagai perisai diri daripada kejutan budaya dan godaan persekitaran yang
terlalu mencabar.

“ Ada sebab lain?” tanya saya sekadar mengundang reaksi. Mereka diam.
Mungkin terus berfikir.
 “Orang Jepun sangat menghargai masa. Pengurusan masa mereka sangat efisien.
Majoritinya tidak membuang masa…” kata saya meluahkan hasil pemerhatian
secara rambang. Memang, ketika di dalam kereta api kebanyakan mereka
membaca. Buku-buku dan komik banyak tersusun di baha gian atas syiling
kereta api.

“Jadi bagi orang Jepun yang tidak membuang masa, 5 ke 10 minit yang kita
luangkan untuk mengerjakan satu waktu solat dirasakan telah membuang masa.
Sebab itu mereka bertanya, mengapa kita membuang masa. Sebab itu soalan itu
timbulnya di kalangan orang Jepun. Kenapa tidak di kalangan orang kita di
Malaysia? ”

“Sebab orang kita masih ramai yang membuang masa,” jawab seorang pelajar
secara spontan. Saya senyum, sam bil mengangguk kepala. Bagi orang yang banyak membuang
masa, apalah ertinya 5 atau 10 minit untuk solat. Bagi mereka yang suka
melepak, berbual kosong, berlegar-legar di pusat membeli-belah sampai
berjam-jam apalah harga masa yang sebanyak itu. Tidak jadi kudis. Namun
tidak bagi orang Jepun, masa beberapa minit untuk aktiviti yang tidak
penting (termasuk solat – pada pandangan mereka) sangat membazir masa.

“Apa yang saudara jawab?” tanya saya menduga. Gembira melihat mereka
tercabar begitu. Kekadang kecintaan dan kefahaman kita terhadap Islam hanya
timbul dengan adanya cabaran dan perlecehan.
“ Susah nak jawab sebab Allah perintahkan kita. Mana mereka boleh terima
jawapan yang begitu.”
“Perlu dijawab begitu. Sebab Allah, Tuhan kami perintahkan begitu.”
“ Tapi kalau ditanya lagi apa sebabnya Tuhan kamu perintahkan begitu?”
“Jawablah, Allah Maha Mengetahui apa yang terbaik untuk hamba-Nya daripada
hamba itu sendiri,” jawab saya.

“Mungkin mereka terima jawapan dari perspektif kita. Tapi bagaimana kalau
kita nak jawab yang logik dan rasional mengikut perspektif mereka?” tanya
seorang penuntut tahun akhir kejuruteraan elektrik (seingat saya).
Bagus soalan itu. Saya memang menantikan respons yang lebih kritikal dan
berani.

“Tanyakan mereka, apa yang kamu buat untuk memastikan alat-alat teknologi
kamu dalam keadaan yang baik? Bukankah kamu sentiasa menyelenggarakannya?
Lebih canggih alat teknologi kamu, maka semakin kerap kamu
menyelenggarakannya. Kamu sentiasa buat “maintanance” kapal terbang, kereta
api elektrik (“bullet train”) dan kereta kamu…” terang saya.

Pelajar-pelajar yang berjumlah 20 orang itu tidak berganjak. Hawa musim
dingin kota Ibaraki itu sekali-sekala mencuri masuk melalui regangan
tingkap yang terbuka. Nyaman.
“Kemudian tanyakan mereka siapa yang lebih canggih, alat-alat atau jentera
teknologi yang dicipta itukah atau pun manusia yang menciptanya?”
“Tentulah manusia,” jawab mereka hampir serentak.

“Nah, kalau begitu tanyakan mereka, kalau kamu sering malah sentiasa
selenggarakan alat-alat teknologi yang canggih, mengapa kamu tidak
selenggarakan diri kamu yang lebih canggih?
“Mereka akan tanya, bagaimana nak selenggarakan diri kami?”
“Itu kami tidak pasti. Tetapi bagi kami orang Islam, solat adalah cara kami
“maintenance” diri kami. Malang sekali kalau kamu hanya menyelenggarakan
alat-alat teknologi kamu tetapi kamu lupa menyelenggarakan diri kamu
sendiri.”
“Kalau mereka bertanya apakah yang dimaksudkan dengan menyelenggarakan diri
pada seorang manusia?”

“Seorang itu dikatakan menyelenggarakan dirinya jika ia membersihkan hati,
menstabilkan emosi dan menenangkan fikirannya. Inilah yang berlaku dalam
solat yang sempurna. Seorang itu mengadu, merayu, merintih dan menyerahkan
kembali segala kegalauan, keresahan dan keserabutan jiwanya kepada zat yang
mampu dan mahu menyelesaikan segala-galanya. Siapa lagi kalau bukan kepada
Allah!”

“Orang yang solat tidak akan sakit jiwa. Stres dan tekanan emosinya
terkawal,” sam puk seorang pelajar di barisan belakang.
“Sebab itu orang Islam tidak bunuh diri walau bagaimana besar sekali pun
masalah yang mereka hadapi,” tambah yang lain.
“Tidak seperti orang Jepun, kadar membunuh diri di kalangan mereka tinggi!”

“Dan ketika itulah mereka mungkin boleh disedarkan betapa solat yang
beberapa minit itu bukan sahaja tidak membuang masa bahkan sangat penting
sekali dalam kehidupan seorang manusia,” ujar saya sebagai satu kesimpulan.

SOLAT ITU SOAL PERIBADI?

Itu kisah orang Jepun yang bukan Islam. Sekarang mari kita ikuti kisah
orang Islam sendiri dengan solat.
“Maaf, solat ini soal peribadi. Siapa yang nak buat sila, dah ada surau pun
dalam bangunan ini. Siapa yang tak mahu, tak boleh paksa. Itu hal masing-masing.”

“Ya, solat tidak boleh dipaksa. Tetapi kita sebagai saudara seIslam, wajib ingatkan.
Dan saya ingin mengingatkan saudara, solat bukan soal peribadi,” tekan saya.

Mengapa?”

“Solat itu mencegah seseorang dari kejahatan dan kemungkaran.”
“Itu saya tahu. Solat boleh mencegah kemungkaran. Saya pun selalu juga
dengar kuliah-kuliah Subuh. Tapi ini dalam syarikat, kita tak perlu
mengulang input-input dalam kuliah Subuh tu. Di sini kita bekerja, kita
berniaga…”

“Tuan, masa kita berniaga dan bekerjalah selalunya godaan dan cabaran
datang. Banyak kemungkaran dalam berniaga dan bekerja,” tusuk saya
perlahan.
“Kemungkaran dalam kerja? Apa tu?”
“Ponteng, curi tulang, rasuah, melawan atasan, menindas bawahan, umpat, adu
domba dan sebagainya. Kemungkaran ini bukan soal peribadi. Jika seorang
melakukannya, ia memudaratkan yang lain. Lama-kelamaan ia berjangkit
menjadi budaya yang negatif dalam syarikat. Ini akan menjejaskan operasi
dan perjalanan syarikat secara keseluruhan.”

“Kita sudah ada undang-undang dan disiplin organisasi. Itu sebagai kawalan
untuk anggota kita tidak melakukan penyelewengan.”
“Undang-undang mencegah kemungkaran dari luar tetapi solat mencegah
kemungkaran dari dalam. Kita perlukan kedua-dua pendekatan. Bahkan dalam
apa jua keadaan pencegahan dari dalam itu yang lebih berkesan.”

“Kenapa?” tanyanya sepatah-sepatah. Pengurus baha gian sumber manusia itu
masih tidak yakin betapa pentingnya kursus pemantapan solat dilaksanakan
dalam organisasi itu. Sejak dari tadi saya terkial-kial untuk meyakinkan
orang Islam sendiri tentang kaedah Islam mencegah penyelewengan dan salah
laku dalam syarikatnya.

“Sebab solat akan membina rasa takut, cinta dan patuh kepada Allah. Orang
yang begini akan meninggalkan kejahatan dengan kerelaan hati sendiri.
Ataupun jika mereka tersalah, mereka akan segera bertaubat.”
“Ah, apa pula pihak atasan kata nanti. Kita anjurkan kursus solat pula,
sedangkan selama ini kita giat menjalan kursus-kursus yang memberi
kemahiran profesional kepada anggota-anggota kita,” katanya berterus-terang.

“Orang atasan tidak mahukah melihat orang-orang bawahan dan seluruh
kakitangan syarikat ini jadi baik? Solat sangat penting untuk membentuk
manusia jadi baik.”
Dia merenung muka saya lalu berkata,”tetapi kalau baik sahaja tetapi tak
tahu bekerja, buat apa?”
“Dan kalau tahu buat kerja sahaja tetapi tidak jujur, buat apa?” balas saya.

Setelah melihat dia diam, saya menambah, “sebenarnya kita perlu
kedua-keduanya sekali. Pemantapan solat pun perlu, peningkatan kemahiran
profesional pun perlu. Alangkah baiknya jika kedua-duanya dilaksanakan
secara bersepadu dalam syarikat ini. Kita tidak ada masalah, bukankah
seluruh kakitangan syarikat ini beragama Islam?”
“ Kos … kos dan peruntukan latihan akan bertambah,” bala snya.

Kali ini saya pula terdiam.
"Tuan, untuk program latihan kemahiran kita rela berbelanja besar. Mengapa
untuk program pemantapan nilai-nilai Islam ini kita terlalu berkira?”
“Itu soal pihak atasan…” kilasnya.

“Tuan, di atas pihak atasan ini ada yang lebih atas lagi. Allah akan
bertanya kepada kita, apa yang kita laksanakan untuk mendidik orang bawahan
kita. Syarikat hakikatnya sebuah institusi. Kita akan ditanya oleh Allah
tentang orang di bawah pimpinan kita. Bukan soal makan-minum dan kebajikan
lahiriah mereka sahaja, tetapi juga soal iman dan Islam mereka.
“Baik tu baik. Tetapi…”

“Tuan, jika syarikat terlalu berkira dalam soal-soal tarbiah begini, saya
khuatir penyelewengan, rasuah, curi tulang dan lain-lain sikap negatif yang
tuan katakan mula merebak dalam syarikat ini akan bertambah kronik.
Pembaziran dan penyelewengan akan memporak-perandakan operasi. Produktiviti
dan kualiti akan menurun. Penjualan juga akan merosot. Pembaziran
berleluasa. Rasuah pula akan menyebabkan ketirisan wang yang bukan sedikit!
Ini menelan kos yang lebih berbanding kos pendidikan,” pujuk saya.
Dia termenung. Sambil menepuk-nepuk tangannya ke meja dia berkata,
“insya-Allah, nantilah akan saya fikirkan dulu.”
Saya menarik nafas. Begitulah cabaran dalam berdakwah. Setelah berhujah,
kita perlu pasrah menyerah kepada Allah, pohon taufik dan hidayah-Nya. Apa
pun benarlah seperti yang selalu diungkapkan, Islam adalah agama yang
paling banyak disalah tafsirkan, bukan sahaja oleh orang bukan Islam….
tetapi oleh orang Islam sendiri.

Di Jepun, di Mala ys ia atau di mana sahaja, Islam sering disalah tafsirkan.
Namun jangan pesimis atau kecewa. Itu bermakna peluang dan ruang untuk
dakwah sentiasa terbuka!

"Tiada seorang pun yang dapat membezakan antara sabar dengan mengeluh melainkan ia menemukan di antara keduanya.....

Adapun sabar dengan memperbaiki yang lahir, maka hal itu baik dan terpuji akibatnya. Dan adapun mengeluh, maka orangnya tidak mendapat ganti yakni sia-sia belaka."

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...